:: POLIGAMI :: Hukum Dan Sebab-Sebab Diharuskan Poligami

HUKUM POLIGAMI

Hukum asal poligami ialah harus dan dibolehkan seperti mana firman Allah s.w.t :

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

“ Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim ( apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan ( lain ): dua, tiga atau empat.” (Surah An-Nisa’:3)

Walau bagaimanapun, hukum poligami ini boleh menjadi sunat, makruh atau haram berdasarkan suasana dan keadaan individu yang ingin berpoligami.

poligami 3

SUNAT

Apabila seseorang lelaki memerlukan isteri yang lain; contohnya, beliau tidak cukup dengan hanya beristeri satu atau isteri pertamanya sakit atau mandul, sedangkan beliau mengkehendaki anak dan dia merasa mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya.Hukum poligami pada ketika ini adalah sunat. Ini kerana, ia mempunyai kebaikan serta maslahat syarak. Ramai kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w berkahwin lebih dari satu.

MAKRUH

Sekiranya poligami itu bukan kerana keperluan tetapi hanya untuk menambah keseronokkan hawa nafsu semata-mata dan dia meragui ( syak ) kemampuannya untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya, hukum poligami ketika ini adalah makruh. Ini kerana poligami itu bukan kerana keperluan dan boleh jadi kesan daripada perkahwinan itu akan memberikan kemudharatan kepada isteri-isterinya disebabkan kerana tidak mampu berlaku adil terhadap mereka. Sabda Rasulullah s.a.w :

دع ما يريبك إلى ما لا يريبك

“ Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu ”.
(Imam an-Nawawi, Abu Zakaria Yahya bin Syarf an-Nawawi.Hadith riwayat Imam at-Tirmizi daripada Hassan bin Ali r.a dalam bab berkenaan keadaan kiamat dan bab ikatlah ia dan bertawakal.Katanya hadith ini hasan shohih. No. 2520. Dar as-Salam. Cetakan pertama. Tahun 2002.)

HARAM

Jika seseorang lelaki ingin berpoligami merasa zhan atau yakin dia tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya, boleh jadi kerana kemiskinan atau kerana kelemahanya atau dia tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya, hukum poligami pada ketika ini ialah haram kerana ia akan memberi kemudaratan kepada orang lain. Sabda Rasulullah s.a.w :

لا ضرر و لا ضرار

“ Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh melakukan kemudaratan.”
(Ibnu Majah, Abu Abdullah Muhammad ibn Yazid al-Qazawini. Diriwayatkan Dalam Kitab Hukum-Hakam, Bab Sesiapa Yang Menggunakan Haknya Tetapi Memudaratkan Jirannya.)

Firman Allah s.w.t :

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا

“ Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( di antara isteri-isteri kamu ) maka ( berkahwinlah dengan ) seorang sahaja, atau ( pakailah ) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.Yang demikian itu adalah lebih dekat ( untuk mencegah ) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa’: 3.)

Seperkara yang mesti difahami, sekiranya suami mengahwini isteri kedua, ketiga atau keempat dalam dua keadaan terakhir, maka akad tersebut adalah sah. Kesan yang akan menyusul daripada akad tersebut ialah halalnya kehidupan suami isteri di antara mereka, maka wajib memberi mas kahwin dan nafkah sekalipun hukum akad adalah makruh pada keadaan yang kedua dan haram pada keadaan yang ketiga. Haramnya itu hanya mendapat dosa tetapi tidak membatalkan akad nikah tersebut.

 

SEBAB-SEBAB DIHARUSKAN POLIGAMI

Setiap ayat al-Quran yang menetapkan syariat tidak hanya terikat dengan suatu hukum atau peristiwa sahaja. Akan tetapi ia mempunyai skop yang lebih luas dan mengandungi pelbagai hikmah dan rahsia-rahsia yang hanya dapat dijelaskan melalui penjelasan sunnah Rasulullah s.a.w. Begitu juga dengan poligami yang terdapat padanya beberapa faktor yang mengharuskannya berdasarkan keterangan dari hadith dan ahli-ahli tafsir yang telah menerangkan secara terperinci sebab-sebab diharuskan poligami. Di sini, penulis akan menerangkan secara ringkas tentang sebab-sebab diharuskan poligami berdasarkan kajian penulis. Diantara sebab-sebab diharuskan poligami ialah :

MANDUL

Isteri yang tidak melahirkan anak merupakan satu fonomena terhadap lelaki yang ingin mendapatkan zuriat ( anak ) yang akan membahagiakannya di dunia dan di akhirat. Oleh sebab itu, maka tiada pilihan buat lelaki selain dua perkara sama ada berkahwin dengan isteri kedua yang akan melahirkan anak-anak yang akan membawa kebahagian dan menjalankan peranan dalam kehidupan dan mendoakan untuknya setelah kematian atau perceraian.

kemandulan

Tidak dinafikan bahawa berpoligami adalah lebih utama dan lebih mulia dari perpisahan. Maka, semestinya bagi isteri tidak menghalang cita-cita dan keinginan suaminya untuk menambahkan zuriat dengan isteri kedua. Hal ini lebih mulia dan disukai oleh Allah s.w.t daripada terjerumus ke dalam lembah kehinaan dari hubungan zina yang terkutuk. Firman Allah s.w.t :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat ( yang membawa kerosakan ).” (Surah al-Isra’ : 32)

Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman kalimah ( yang membawa kerosakan ) ialah Allah s.w.t melarang dari menghampiri apa-apa jua jalan yang membawa kepada zina, apatah lagi perbuatan zina itu sendiri. Kerana yang demikian itu bukan sahaja satu perbuatan yang keji tetapi juga menimbulkan pelbagai kerosakkan dalam masyarakat. Di antaranya ialah merosakkan nasab keturunan, mengembangkan penyakit berbahaya, menimbulkan pergaduhan dan pembunuhan kerana suami atau waris sudah tentu akan menyerang lelaki yang berzina dengan isterinya atau dengan perempuan yang menjadi darah dagingnya.
(Syeikh ‘Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran,Terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, Cetakan Keenam Belas, 2000.)

 

ISTERI MENDERITA SAKIT YANG BERPANJANGAN

Adakalanya isteri ditimpa penyakit kronik yang tidak mungkin untuk menjalani kehidupan rumah tangga. Oleh yang demikian, harus bagi suami untuk melakukan poligami bersama isteri kedua kerana syariat membenarkan. Hal ini lebih baik dan mulia daripada suami terjebak dengan maksiat.

Kebiasaan isteri yang ditimpa penyakit akan menyebabkan hilang daya tarikannya sehingga suami tidak merasa ghairah untuk menggaulinya. Oleh itu, suami terpaksa mengahwini wanita lain untuk mencegah dirinya dari perbuatan maksiat.ISTERI SUKAR DIDIDIK

sakit berpanjangan

Terdapat juga wanita yang sukar untuk dibentuk dan dididik sikapnya supaya menjadi lebih baik dan positif. Sikapnya yang sering menimbulkan kemarahan suami dan sukar untuk dibentuk tidak mampu diubah walaupun berbagai usaha telah dilaksanakan.

Isteri yang taat kepada suami merupakan permata yang sangat bernilai. Perasaan kasih sayang diantara kedua belah pihak dapat membentuk kehidupan rumah tangga yang harmoni dan romantik. Firman Allah s.w.t :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

“ Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka ( dengan menahan dan menyusahkan mereka ) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali ( apabila ) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu ( merasai ) benci kepada mereka ( disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya ), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak ( untuk kamu ).” (Surah an-Nisa’ : 19)

Oleh itu, suami perlu memainkan peranan penting untuk mendidik isteri supaya mentaatinya. Manakala isteri pula hendaklah mematuhi dan mentaati suaminya sebaik mungkin supaya kehidupan rumah tangga bahagia dan aman damai.

musafir

SUAMI SENTIASA BERMUSAFIR

Kadangkala suami perlu ke luar daerah atau ke luar negeri kerana urusan pekerjaan dan tidak dapat membawa isterinya setiap kali bermusafir. Dorongan nafsu lelaki tidak mampu bersabar dalam perantauannya tanpa isteri di sisi jika mengambil masa yang lama. Untuk menjaga dan menyalurkan keperluan biologinya, maka penulis telah mencadangkan satu alternatif yang baik untuk menghadapi kesulitan ini. Iaitu, mengahwini wanita lain secara sah, sedangkan suami berkemampuan dari segi harta dan kesihatan.

Oleh itu, perkahwinan dengan isteri kedua lebih baik daripada melempiaskan kecenderungan seksualnya daripada melakukan perbuatan haram. Isteri perlulah bertolak ansur dalam masalah ini jika suaminya benar-benar memerlukan poligami.

tabiat laki-laki

TABIAT BIOLOGI LELAKI BERBEZA DENGAN WANITA

Allah s.w.t telah memberikan kekuatan dalam bidang seksual kepada seorang lelaki sehingga kadang-kadang seorang lelaki tidak merasa puas dengan hanya seorang isteri. Apalagi jika isterinya sedang haid dalam waktu yang panjang.

Dalam keadaan seperti ini, untuk menyalurkan keperluan seksual dengan cara yang baik ialah suami perlu melakukan poligami. Pilihan lain selain poligami ialah melakukan perbuatan maksiat ( zina ) dan ia memberi kesan negatif sama ada dari segi agama, harta, kesihatan dan juga membahayakan isterinya. Dalam keadaan seperti ini, kita perlu menghadapi tiga kemungkinan iaitu :

1. Mengekang hawa nafsunya.
2. Ada sebahagian kecil para suami hari ini mendatangi pelacur.
3. Membenarkan suami berpoligami dan tetap hidup bersama isteri pertamanya.

Jelaslah bahawa kemungkinan pertama bertentangan dengan fitrah dan diluar kemampuan manusia. Kemungkinan yang kedua sangat bertentangan dengan akhlak Islam yang bersih seperti mana firman Allah s.w.t :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat ( yang membawa kerosakan ).” (Surah al-Isra’ : 32.)

Manakala kemungkinan yang ketiga merupakan peraturan Islam untuk memelihara keharmonian keluarga serta menyalurkan keinginan seksual yang sah mengikut syariat Islam. Allah s.w.t telah berfirman :

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

“ Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan ( lain ): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( di antara isteri-isteri kamu ) maka ( berkahwinlah dengan ) seorang sahaja.” (Surah an-Nisa’ : 3)

wanita lebih ramai dari laki-laki

JUMLAH WANITA LEBIH RAMAI DARI LELAKI

Dewasa ini, jumlah wanita bertambah ramai daripada lelaki. Kaum wanita lebih ramai melahirkan anak perempuan manakala kaum lelaki pula lebih ramai yang meninggal daripada wanita. Kenyataan ini membuktikan bahawa ramai kalangan lelaki yang melibatkan diri dalam peperangan sehingga ada diantara mereka yang menjadi korban.

Kaum lelaki pula lebih banyak menanggung risiko kerana berbagai peristiwa seperti keluar rumah untuk mencari rezeki. Akibatnya ramai golongan lelaki ditimpa sakit, sedangkan kaum wanita ada yang tinggal di rumah menguruskan rumah tangga. Salah satu usaha untuk mengatasi perbezaan jumlah yang tidak seimbang antara kaum lelaki dan perempuan ialah melalui poligami yang merupakan keputusan tepat untuk mengatasi perbezaan ini.

Namun begitu, ada perkara yang lebih menyukarkan lagi apabila ada golongan lelaki yang tidak mahu berkahwin kerana faktor ekonomi yang tidak memungkinkan untuk menyara keluarga ( rumah tangga ) dan anak-anak yang akan dilahirkan. Akhirnya ramai lelaki yang menunda-nunda perkahwinan. Padahal, hal itu bercanggah dengan keadaan wanita yang sudah bersedia berkahwin pada usia muda.

Pada dasarnya, membiarkan wanita tanpa suami bererti membiarkan wanita tersebut melawan fitrahnya. Walaupun dia dapat menyalurkan kehidupan harianya untuk bekerja dan mencari kekayaan, namun tidak mungkin dapat mengantikan fitrahnya yang cenderung kepada lelaki sesuai dengan fitrah ciptaan Allah s.w.t.

Menurut Syeikh Muhammad al-Ghazali beliau mengatakan bahawa perbandingan jumlah antara lelaki dan perempuan adakalanya sama dan adakalanya salah satu di antara keduanya lebih banyak. Apabila jumlah perempuan sama dengan lelaki atau lebih sedikit, peraturan-peraturan tentang poligami tidak perlu ditonjolkan. Dengan demikian seorang lelaki harus berpuas hati dengan seorang isteri yang dimilikinya. Jika terjadi keadaan yang sebaliknya iaitu jumlah wanita melebihi lelaki, maka di sini terdapat tiga penyelesaianya iaitu :

1. Membiarkan sebahagian wanita tidak berkahwin sehingga
akhir hayatnya.
2. Membiarkan seorang lelaki mempunyai ramai wanita simpanan.
3. Membenarkan poligami, kerana pada dasarnya wanita menolak
kehidupan tanpa perkahwinan serta menolak untuk melakukan
zina kerana melanggar tatasusila dan akhlak umat Islam.

(Majalah al-Muslimin edisi 1410 H, Penulis nukilkan dari buku Keadilan Dalam Tuntutan Berpoligami, Muhammad Azwaj Shahzali. Cetakan Crescent News (KL) Sdn. Bhd. 2001.)

Dengan demikian, tidak ada cara lain yang harus dilakukan kecuali berpoligami dan berkongsi suami dengan wanita lain. Hal ini tidak dapat dielakkan lagi kerana poligami memang dibenarkan dalam Islam kerana jumlah wanita melebihi kaum lelaki.

Sebagai seorang wanita yang sholihah, mereka akan menerima dengan fikiran terbuka kerana syariat membenarkan poligami. Mereka telah melakukan kebaikkan kepada wanita lain yang tidak memiliki suami untuk menyelamatkan dari terlibat dengan maksiat ( zina ). Islam menganjurkan umatnya untuk tolong menolong kearah kebaikkan dan menentang kemungkaran seperti mana firman Allah s.w.t :

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“ Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa ( maksiat ) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab seksaNya ( bagi sesiapa yang melanggar perintahNya ).” (Surah al-Maidah : 2.)

Insyaallah akan bersambung dalam masa terdekat🙂

Rujukan:

Muhammad al-Mansur, Hukum Hakam Perkahwinan, Jahabersa, Cetakan Pertama, 1998.

Zaini Nasohah, Poligami Hak Keistimewaan Menurut Syariat Islam. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. 2000.

Muhammad Azwaj Shazali, Keadilan Dalam Tuntutan Berpoligami. Crescent News (KL) Sdn Bhd. 2001.

Nor Atiqah Ghazali, Poligami Yang Disalahertikan. Jahabersa. Cetakan Pertama : 1996.

Zaleha Muhammat, Analisis Poligami Menurut Perpektif Islam. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Cetakan 2002.

Prosedur Permohonan Pligami, Bahagian Perundangan Keluarga (BPK),Jabatan Agama Islam Selanggor (JAIS).

Jom Komen...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s